Saturday, November 7, 2015

Mobile apps Teknik Mendorong Pelajar

Alhamdulillah! Segala pujian bagi Allah.

Akhirnya , mobile app TMP Teknik Mendorong Pelajar gaya Nabi Muhammad s.a.w sudah berjaya diterbitkan di Play Store.

Apps ini merupakan usaha sama Kay Digital Network dan Rafique Solution.

Terima kasih tidak terhingga buat pembina bersama  app TMP Muhammad Hanif yang sanggup meluangkan masa menghadiri Bengkel Mobile App dan seterusnya membantu membina app teknik nabi ini.  Terima kasih kerana mahu bersama-sama membina app ini tanpa bayaran.

Terima kasih kepada pelukis grafik anakanda Nana Johari yang sanggup meluangkan masa membantu ibu dan menghasilkan kaver mobile app yang ringkas tetapi unik, biarpun dalam keadaan kurang sihat.

Terima kasih buat Tuan Rafiq selaku sifu dan pembimbing dan pemberi tunjuk ajar dalam menyusun konten dan  menyunting app teknik gaya nabi-pelajar ini.

Terima kasih juga buat Puan Super Sifu dan Tim Pengkaji Hadith Psikologi yang atas usaha mereka, teknik mendorong gaya Nabi Muhammad dihasilkan. Tanpa mereka , tiadalah teknik ini. Merekalah  perintis dan pelopor kajian tentang teknik yang Nabi Muhammad gunakan untuk mendorong umatnya.

Terima kasih buat semua yang secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam pembinaan apps ini.

Bagi sesiapa yang memuat turun app TMP sebelum 20hb November akan mendapat link Ebook Mendorong Pelajar Gaya Nabi Muhammad s.a.w yang berjumlah 100 muka surat dan boleh memuat turun ebook secara PERCUMA.

Kandungan ebook TMP adalah separuh daripada konten app TMP. Ebook ini ditulis dan diterbitkan sebagai alternatif pembacaan informasi berkaitan teknik nabi secara offline serta dapat mengatasi masalah talian yang lembab,

Semoga bermanfaat.

Link mobile app TMP
https://play.google.com/store/apps/details?id=com.app_teknikgayanabi.layout

Tuesday, October 15, 2013

Anak 4 tahun mahu merempit

Amar merupakan anak saudara saya yang berumur 4 tahun. Pada hari raya Aidiladha, dia mengikut saya balik ke rumah (yang tidak jauh daripada rumah opahnya.)

Semasa dalam perjalanan, saya melayan Amar berbual-bual. Tiba di lampu isyarat, Amar ternampak sebuah motosikal besar.

Amar berkata, “Amar nak motor besar tu.”
Saya balas, “Oh! Amar suka motor besar.”
Amar mengangguk-angguk kepala.
Saya berkata lagi, “Tapi motor tu berat.”
Amar balas, “Motor berat. Amar nak naik. Amar nak angkat!”

Sebetulnya saya terkejut. Saya pasti, bayangan  dalam fikiran saya sama dengan apa yang Amar fikirkan. Mesti dia membayangkan orang naik motosikal yang mengangkat tayar depannya. Entah di mana dia melihat aksi tersebut.

Saya beritahu Amar, “Amar, tunggu Amar besar, baru boleh naik motor besar. Amar perlu belajar ‘bawa’ motor.”
Amar balas, “Motor berat . Nanti Amar jatuh.”
Saya jawab, “Perlu belajar. Mula-mula memang jatuh.”

Namun, satu perkataan yang diucapkan oleh Amar (selepas itu) membuatkan saya terkejut besar.
Kata Amar, “Makngah, merempit!”

Ha? Tahu pula dia perkataan merempit. Bayangkan, seorang kanak-kanak 4 tahun sudah tahu konsep merempit dan aksi merempit itu. Tertanya-tanya juga dalam hati, “Di manakah dia belajar semua itu.”

Biasanya, kita selalu menggunakan kata larang, “Jangan”. Banyak sangat larangan yang dibuat oleh ibu bapa., contohnya:
“Jangan lompat-lompat. Nanti jatuh.”
“Jangan berlari. Nanti jatuh.”
“Jangan main game. Pergi tidur.”

dan macam-macam lagi larangan.

Atau mungkin kita mengkritik anak-anak kita atau anak-anak saudara yang nakal dengan kritikan seperti,
“Kamu melompat-lompat. Sudah macam monyet. “
“Kamu ini tidak tahu duduk diam. Asyik mahu berlari-lari sahaja.”
“Kamu degil. Tak nak dengar cakap emak. “

Daripada member larangan atau membuat kritikan, lebih baiklah kita mengikut sunnah. Nabi Muhammad salallahu alaihi wasaalam menerangkan kesalahan.

Jadi,kepada Amar, saya berkata, “Amar, kalau Amar besar nanti dan mahu ‘bawa’ motor besar atau pun buat aksi angkat motor, Amar boleh buat di litar.”
Balas Amar, “Litar itu apa, makngah?”
Saya balas, “Litar itu tempat orang berlumba motosikal . Litar itu di stadium. Di sana, akan ada motorsikal sahaja. “

Apabila Amar diam, saya sambung lagi memberikan informasi.  Kata saya, “ Kalau ‘bawa’ motor dan angkat motor di jalan raya akan membahayakan diri sendiri dan orang lain. Di jalan raya , ada banyak kereta dan ada banyak lori. Kemungkinan apabila ‘angkat’ motor, boleh berlaku kemalangan. Kereta boleh langgar motor.”

Kata Amar, “Merempit,ya makngah.””

Saya balas, “Merempit di litar. Bukan di jalan raya. Nanti, minta ayah bawa Amar ke litar. Boleh lihat orang berlatih ‘bawa’ motosikal.”
Pengajarannya di sini ialah anak-anak kecil belajar daripada apa yang mereka lihat. Jika mereka melihat contoh kurang baik, maka yang tersemat di minda itu adalah yang tidak baik. Lazimnya, kita membuat larangan , itu tidak boleh, ini tidak boleh tanpa memberikan alternatif lain atau cara lain boleh melakukan sesuatu yang diingini.

Misalnya, kalau anak-anak suka melompat di sofa, boleh sahaja terangkan kesalahan itu dengan menyatakan kesalahan dan menyatakan juga yang betul.

“Di ruang tamu, tidak boleh melompat-lompat. Kalau mahu melompat-lompat , lakukan di halaman  rumah. Lebih baik, jika melompat-lompat di taman permainan.”

“Di dalam rumah, tidak boleh berlari-lari. Jika mahu berlari-lari , lakukannya di halaman rumah atau di padang yang luas. “

Selamat mengamalkan sunnah. J



 ______________

Allahumma solli ala saidina Muhammad! Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Monday, July 1, 2013

Izz dan Lukisan Fern


Izz adalah seorang anak yang berusaha mendapatkan sesuatu ilmu itu daripada Youtube.Pernah satu ketika, Izz mahu melukis gambar watak kartun. Fern. Kartun itu ditontonnya di televisyen.  Dia teringin melukisnya dan dia mencari video yang mengajarkan teknk melukis Fern di Youtube. Sebelum ini saya tidak sangka akan ada orang yang berkongsi ilmu melukis watak-watak kartun seperti itu di Youtube, namun melalui Izz, ilmu baru saya peroleh.  
Biasanya pabila berjaya membuat sesuatu, Izz akan memaklumkan kepada saya. Dia akan melukis dan kemudian memberikan penerangan kepada saya cara dia belajar melukis dan melukis kartun yang digemarinya., Ada kalanya , Izz akan mendemontrasi terus cara melukis itu.

Ketika Izz menunjukkan hasil kerjanya, saya puji menggunakan teknik Rasulullah-puji kebaikan dan nyatakan impaknya.
Kata saya, “Bagusnya. Ibu suka usaha abang.Abang berlatih melukis. Abang bertambah mahir.”
Jawab Izz, “Abang tahu.”
Saran saya, “Abang belajar lukis watak lain.”
“Baik ibu.”

Mudahnya mendorong anak.:)










Apabila berbicara dengan anak kecil

Baru-baru ini saya bertemu dengan anak saudara yang berumur 3 tahun. Dina sudah pandai berkata-kata cuma percakapannya agak pelat. Ada satu ketika, Dina mengamuk dan merengek-rengek. Saya tidak faham apapun yang dikatakannya. Saya tidak tegur kesalahannya. Saya tidaklah mengkritiknya. Saya tidak marah. Saya tidak berkata, "" Dina, cuba kamu cakap elok-elok. Kamu cakap apatah.Mana makngah nak faham."

Sebaliknya, saya memandang Dina dan berkata, "Dina, apabila kita nak cakap sesuatu, kita perlu cakap dengan jelas dan terang. Barulah orang faham apa yang kita cakap. Dina sebut betul-betul supaya makngah faham."
Ketika berbicara demikian, saya tidak pasti apakah respon Dina. Sudah lama tidak berbicara dengan anak kecil.
Dina terdiam. kemudian dia berkata dengan nada tenang dan suara yang jelas, "Dina nak ola."
Oh! Rupanya dia mahu bola yang dipegang oleh abang sepupunya.
Lantas saya puji Dina. "Bagus! Dina cakap dengan jelas. Makngah faham. Barulah makngah dapat tolong Dina. "
Pastinya Dina mendapat bola yang dimahukannya itu.

Monday, May 6, 2013

Apabila bercerita kisah nabi...mendorong anak tanpa mengkritik


Alhamdulillah! Allah memberikan peluang untuk saya menulis dan berkongsi cerita pada pagi ini. Sudah agak lama ,tiada entri baru tetapi bukan bermakna sudah etrhentinya aplikasi teknik Nabi Muhammad dalam mendidik anak-anak. Allahumma solli ala saidina MUhammad.

Semalam, saya melihat Muhammad yang saya sedar agak liat mahu bersolat Isyak. Saya tidak mahu marah-marah. Saya juga tidak mahu mengkritik anakanda saya ini. Saya hanya mahu menerangkan kesalahan dan menerangkan peraturan.

Hadith 'Lelaki Kencing di Dalam Masjid'
Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. -- Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

  1. ANALISIS HADITH
1.      Hadith ini adalah hadith mendorong perubahan tingkah laku.
2.      Hadith ini sesuai digunakan apabila mendorong perubahan tingkah laku yang disebabkan orang itu tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman berkenaan kesalahan yang dilakukannya.
.
3.      Apabila orang melakukan kesalahan, jangan persalahkan dia, sebaliknya terangkan peraturannya sahaja.
4.      Anas melaporkan tindakan Nabi Muhammad apabila lelaki itu diherdik: Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
5.      Apabila lelaki itu sudah selesai kencing, Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya: "Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran."
6.      Ayat ini adalah ayat yang menerangkan peraturan di dalam apabila berada di dalam masjid.
(Sumber: 40 hadith Psikologi)


Namun, informasi yang mahu diberikan bukanlah dengan kata-kata yang lama. Kekadang anak-anak jemu mendengar ulangan kata-kata yang sama. Sebenarnya, dalam usaha menggunakan teknik Tidak Menegur tetapi menerangkan Peraturan, boleh sahaja, ibu bapa berkata:
1)  “ Solat itu tiang agama.”
atau
2)“ Sebagai umat Islam, kita perlulah bersolat.”
ataupun
3) “Allah sayang orang yang bersolat”

Semua itu merupakan contoh kata-kata yang boleh disebut/diberitahu kepada anak-anak bagi mengantikan kritikan/teguran yang lazim dibuat.

Informasi yang lama juga disampaikan dengan cara yang baru, misalnya:

1) “ Sudah tiba masa untuk berkata-kata kepada Allah”
2) “ Sekarang peluang untuk kita berbicara dengan Allah.”
3) “ Ibu gembira apabila anak ibu bersama-sama berjumpa Allah.”

Hari ini tahap keliatan Muhammad agak tinggi. Emmm...saya cuba berinovasi dengan kaedah dan kata-kata. Alhamdulillah, ketika itu saya terpandang buku “Bawalah Anakmu ke Syurga.”. Saya ambil buku itu dan menunjukkannya kepada MUhammad.

Saya berkata, “ Semalam, ibu beli buku ini, Bawalah Anakmu ke Syurga.””

Balas spontan MUhammad, “TTerima kasih ibu sebab mahu bawa abang ke syurga.”

Saya senyum. Kemudian saya berkata, “Abang, perkara pertama ibu bapa perlu buat ialah mendidik anak supaya mencintai Allah subhanawataala. “
Muhammad memeluk saya lantas berkata, “Ya, ibu.”

Saya meneruskan cerita. “ Dalam buku ini ada menceritakan tentang Nabi Yahya. Nabi yahya sangat sayangkan haiwan dan burung-burung sehinggakan sanggup memberikan burung-burung dan haiwan daripada makanannya sendiri. Betapa sejak dari kecil, Allah telah berikan kelebihan kepada Nabi Yahya. Allah berikan ilmu dan kebijaksanaan kepada nabi. Nabi Yahya berkemampuan menyelesaikan masalah syariat yang timbul dalam kalangan masyarakat.”

Nampaknya, Muhammad mula tertarik. Tanya anakanda saya ini, “ Lagi ibu?”

Saya balas, “ Nabi Yahya juga memerintahkan umatnya supaya mendirikan solat kerana Allah memerhatikan hambanya yang sedang bersolat. Juga menyuruh umatnya berpuasa. Yang demikian sama seperti seorang lelaki yang mempunyai bungkusan minyak kasturi yang harum sekali baunya. Nabi Yahya juga memerintahkan umatnya banyak berzikir, seperti yang abang selalu lakukan sebab zikir merupakan benteng paling kukuh dan dapat menjaga keselamatan kita.”

Muhammad mendiamkan diri. Kemudian , saya peluk Muhammad. Saya berkata, “Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Allah Maha Pemurah. Allah Maha Pelindung. Allah yang sentiasa berada bersama kita walaupun waktu kita susah..”

Kemudian, saya lepaskan pelukan dan berkata, “ Ibu mahu berwuduk. “

Balas Muhammad, “ Selepas ibu, abang pun nak ambil air sembahyang.”

Alhamdulillah. Tanpa disuruh-suruh, Muhammad bersolat isyak juga akhirnya.

Tuesday, February 12, 2013

Sama-sama kita masuk syurga

Saban hari, pelbagai kata-kata yang dicipta untuk mendorong anak. Salah satunya, mendorong anak-anak bersolat.

Perkongsian pagi ini:

Ibu : Wahai pahlawan hati ibu, tiba masa untuk bangun. 
Wahai pejuang Islam, tiba masa untuk bangun dan bersolat.
(Beri gelaran baik-baik kepada anak)

Muhammad masih tidak bangun. Hanya mengeliat. Ibu peluk Muhammad. Ibu cium dahi Muhammad.

Ibu : Sayang anak ibu ini.

Muhammad mengeliat lagi.

Ibu: (Sambil peluk Muhammad dan berbisik di telinganya) Anak ibu, mari sama-sama kita bersolat. Sama-sama kita masuk syurga. Abang boleh pimpin ibu masuk syurga.

Subhanallah! kata-kata itu seperti magnet yang menarik Muhammad. Muhammad terus bangun dan keluar dari bilik. Hati ibu memang terasa senang.

Ketika Muhammad masuk ke bilik untuk bersolat jemaah bersama ayah dan ibu, Muhammad memandang ibu.

Muhammad: Ibu, tadi ibu cakap sama-sama kita masuk syurga.
Ibu : Ya?
Muhammad: Abang terfikir. Abang tidak mahu lepaskan peluang ini. Masuk syurga adalah hasrat abang.
Ibu : (Tersenyum dan peluk Muhammad) Ibu doakan agar kita sama-sama dapat masuk syurga. Amin!

Friday, February 8, 2013

Menaikkan self-esteem anak dengan Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad


"Ibu, Nana mana tahu buat doodle?"
"Ibu lihat doodle yang kamu lukis cantik saja. Ibu suka. "
"Itu bukan doodlelah , ibu.!"
"Oh ya? Hehehe! Manalah ibu tahu. Yang ibu tahu ibu mahu kamu tolong lukis kartun ibu. Ibu yakin kamu boleh hasilkannya. Ibu pasti suka."

Itulah permulaannya.Sebenarnya, saya minta Nana lukiskan saya satu gambar kartun yang dapat saya jadikan seakan maskot untuk saya. Sangka saya ia doodle ( http://en.wikipedia.org/wiki/Doodle)  tetapi rupanya namanya ialah chibi. (http://en.wikipedia.org/wiki/Chibi_(term)) atau orang rendah atau budak kecil yang mempunyai kepala besar. Nana memang suka melukis chibi.

Akhirnya, Nana terdorong juga melukis chibi ibunya yang comel.  Untuk makluman, Nana melukis menggunakan tetikus sahaja di Adobe Illustrator dan mewarnakannya di Photoshop. Sememangnya bukan mudah sebab Nana pun belum lagi belajar secara formal tentang AI tersebut. Hanya belajar secara try and error sahaja. Ini hasilnya. Tentunya saya suka sangat.



Selepas itu, saya gunakan lukisan Nana untuk setiap poster yang saya buat berkaitan tips Teknik Nabi Muhammad atau kata-kata motivasi di Fb. Poster pertama saya menggunakan lukisan ini mendapat respon positif. Kata-kata positif yang dicatat oleh rakan-rakan fb, saya tunjukkan kepada Nana untuk menaikkan self-esteemnya dan menambah keyakinan dirinya.



Alhamdulillah! Nana terdorong untuk melukis lagi. Saya cadangkan Nana melukis gambar Ustazah Nur Hidayah. Lantaran, pernah  ustazah menyatakan keinginannya supaya Nana melukis doodle untuknya. Apabila Nana bersetuju, saya puji Nana. Saya gunakan medium Fb.

Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad bagi mendorong perubahan tingkah laku digunakan sebelum, semasa dan sesudah sesuatu tingkah laku positif . Apabila Nana bersetuju sahaja mahu melukis gambar Ustazah Nurhidayah,saya  memujinya. (belum pun melukisnya lagi)

Catat saya di inbox fb Nana,  Terima kasih untuk Along juga sebab mahu berusaha. Along dapat menambah kemahiran. Allah berikan pahala buat Along. Didoakan Allah mengilhamkan sesuatu yang indah dan Allah permudahkan Along.

Teknik Memuji Gaya Nabi Muhammad : Puji kebaikan dan nyatakan impaknya.

Puji kebaikan : Terima kasih untuk Along juga sebab mahu berusaha.

Nyatakan impaknya : Along dapat menambah kemahiran.(Impak 1)
                                 Allah berikan pahala buat Along.(Impak 2)

Ingin saya nyatakan di sini, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Tim Hadith Psikologi ( http://www.psikologihadith.com/ ), impak yang dinyatakan oleh nabi hanya satu. Satu pujian satu impak. Untuk Nana, saya nyatakan dua impak. Di sini, prinsip saya, yang penting kandungan pujian  menepati teknik nabi iaitu puji kebaikan dan ada pernyataan impak. 

Kemudian setelah Nana melukis chibi Ustazah Nur Hidayah, saya puji lagi hasil kerjanya di mesej Fbnya iaitu ketika dia menghantar link gambar Ustazah Nur Hidayah yang dimuat naik ke internet. Saya juga ada membuat poster berkongsi skrip kata-kata pujian tersebut di fb saya. 





Saya juga kongsikan balasan mesej Ustazah Nur Hidayah di inbox Nana. Tujuannya supaya Nana bertambah yakin bahawa dia mempunyai bakat dan boleh diasah digilap lagi.

Kata-kata Puan Ustazah Nur Hidayah juga turut membantu menaikkan self-esteem Nana. Apatah lagi apabila ustazah turut mempromosikan chibi yang dilukis oleh Nana di statusnya. Banyak komen postif yang diterimanya. Ini juga merupakan ganjaran positif yang diterima Nana.




Pastinya, saya tunjukkan kepada Nana segala komen positif yang diterimanya. Di sebalik rasa kurang percaya Nana terhadap apa yang dibacanya di status Puan Nur Hidayah, Nana nampak gembira. Biasalah, orang yang self-esteem rendah dan kurang keyakinan diri, sukar menerima kata-kata pujian. Namun, insyaallah, lama kelamaan , dia akan menerimanya. Itulah yang cuba saya lakukan. Saya cuba menaikkan self esteem Nana dengan teknik memuji Nabi Muhammad.

Saya percaya, self esteem anakanda Nana sudha mulai naik. Hal ini seterusnya memudahkan saya mendorong Nana untuk menerima tempahan melukis chibi. Walaupun tidak dipromosikan atau dibuka tempahan namun saya mendapat mesej dalam inbox saya yang meminta Nana melukis chibi untuk beberapa orang termasuk seorang doktor. Apabila berbincang dengan Nana, akhrinya Nana bersetuju untuk menerima tempahan tersebut yang pada waktu itu sudah ada 4 tempahan.

Tujuan saya menggalakkan Nana menerima tempahan adalah untuk menggalakkannya membuat latihan melukis di sebalik mendapat upah atas hasil latihan yang dibuatnya. Menerima tempahan juga dapat menambahkan keyakinan bahawa dia mampu menghasilkan sesuatu yang digemari oleh orang lain.

Persetujuan Nana menyebabkan saya memujinya lagi . Kali ini juga melalui medium fb. Di akhir pujian , saya juga mendoakan Nana.Respon Nana amat positif. Dia turut mengaminkan doa tersebut.



Saya turut berkongsi skrip kata-kata pujian yang saya berikan kepada Nana dalam bentuk poster di fb saya.



Cerita ini tidak berhenti di situ sahaja. Seperti yang saya maklumkan pada awalnya, sudah ada 4 tempahan melukis chibi. Salah satunya ialah tempahan melukis maskot untuk projek audio untuk cerita kanak-kanak. Saya ada bertanyakan kepada Nana perkembangan lukisannya itu. Saya tanyakan hal ini melalui fb. Kekadang memang begitu. Ketika saya dalam talian, jika saya dapati Nana juga dalam talian, saya akan chat juga dengan Nana. Bukan apa, sekadar suka-suka. Selain itu, saya akan gunakan peluang itu untuk mendekati anakanda saya dan saya selitkan kata-kata semangat dan pujian kepada Nana. Untuk kali ini pun  begitu. 



Saya amat gembira kerana Nana terdorong untuk melukis chibi tersebut. Mulanya dia lukis di kertas bergaris (sekadar draf sahaja). Kemudian ditunjukkannya lukisan tangannya itu kepada saya. Saya senyum dan saya puji lukisannya. Kata saya, "Comelnya. Ibu suka."

Mendengar pujian saya itu, Nana melukis pula dengan lebih terperinci di kertas lukisannya. Hasilnya sungguh mengagumkan saya. Biasalah , seorang ibu pasti berasa bangga dengan kebolehan anaknya biarpun mungkin kebolehan anaknya biasa-biasa sahaja bagi orang lain.

Kali ini pujian yang ringkas untuk Nana saya berikan di Fb saya . Saya catat : Kamu berusaha melukis doodle. (pujian) Kekreatifan kamu terserlah melalui lukisan ini. (Impak)

Saya  juga buatkan dalam bentuk poster yang mengandungi lakaran dan usaha Nana melukis chibi tersebut dan saya kongsikan di status saya. 2 dalam 1. Di sebalik saya berkongsi skrip kata-kata pujian sebagai contoh kepada rakan-rakan Fb , dalam masa yang sama , saya mendorong anak saya untuk terus melukis chibi.





Rentetan daripada itu, saya menunggu Nana menyiapkan chibi budak lelaki bertopi musang. Nana beritahu dia mahu mencuba melukis mata chibi itu dengan teknik lain. Hal ini saya kongsikan di status fb. 


Sebenarnya saya suka berkongsi perkembangan dan setiap skrip pujian kepada anak-anak , bukan sahaja untuk memberi contoh dan panduan bagi ibu bapa lain akan skrip kata-kata pujian tetapi juga lebih kepada mendorong anak-anak melakukan tingkah laku positif dan menaikkan self-esteem mereka, terutamanya Nana. 

Medium Fb amat sesuai digunakan sebagai medium aplikasi teknik Nabi Muhammad kepada anak-anak remaja. Saya pernah juga menggunakan medium Fb untuk memuji anak-anak didik saya dan ternyata tindakan itu amat berkesan dalam mendorong perubahan tingkah laku.

Ok. Berbalik kepada cerita Nana tadi, perkembangan seterusnya ialah Nana menghantar mesej kepada saya  melalui fb. Dia menunjukkan hasil lukisannya (yang belum siap) untuk mendapat pandangan daripada saya. Dia memang begitu. Sering kali Nana akan menunjukkan perkembangan lukisannya, terutamanya jika dia mahu mendapatkan pandangan saya.


Dalam komen saya, saya ada menggunakan teknik memuji ( Ibu suka sangat. Cute.) dan juga teknik menerangkan kesalahan. Saya tidak kritik dan tegur kesalahan Nana. Saya hanya terangkan sahaja kesalahan. (Bulat mata putih di hujung kiri kecilkan sedikit)


  • Nana Johari

    ok ke kalau mata macam ni? belum siap. badan takde, garis muka pun tak smooth. ahahaha ni test je


    • Monday
    • Khairulaniza Khairuddin

      ibu suka sangat. Cute. Bulat mata putih di hujung kiri kecilkan sedikit dan titik bawah mata kiri ada. kanan? Topi ,kalau Along mahu, boleh juga dibuat tekstur macam tudung ustazah (cadangan) tapi tak pasti cantik atau tak. Along buat apa yang Along fikir cantik. Lihat draf ini pun ibu dah suka sangat. Hehehe! You're are so talented. Caiyok!



      Akhirnya, Nana berjaya menghasilkan satu lagi chibi iaitu budak lelaki yang memakai topi musang sedang menggunakan earphone untuk mendengar sesuatu. 




      Selepas sesuatu tingkah laku positif dilakukan, tentunya saya tidak lupa memuji Nana. Seperti biasanya juga, pujian tersebut saya kongsikan di fb dalam bentuk poster.




    Saya yakin, bukan sahaja self-esteem Nana naik disebabkan pujian mengikut teknik Nabi Muhammad yang diberikan kepadanya tetapi juga keyakinan diri Nana makin bertambah dengan ganjaran positif yang diterimanya daripada rakan-rakan fb saya.




    Saya percaya dan yakin bahawa Teknik memuji dapat emnaikkan self-esteem dan mendorong seseorang melakukan perkara-perkara positif. Namun, tindakan memuji tidak boleh terhenti di sini sahaja. Mengenali anak saya, saya tahu saya perlu sentiasa mendorongnya. Seorang anak akan sentiasa memerlukan sokongan daripada ibu bapanya. Insyaallah, itulah yang akan sentiasa saya lakukan.
    ____________________

    Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!